Majlis Pengenalan Pemain Pasukan Bawah 19 (B19) dan 17 Tahun (B17) Melaka United dan Pelancaran Jersi I-17 Sports

 In News, Press Release

Majlis Pengenalan Pemain Pasukan Bawah 19 (B19) dan 17 Tahun (B17) Melaka United dan Pelancaran Jersi I-17 Sports di Stadium Hang Jebat petang tadi berlangsung meriah dengan kehadiran hampir seribu tetamu.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan turut dihadiri Naib Presiden MUSA, Datuk Khairi Anuar Ahmad dan En. Ahmad Roslee Hamzah, Setiausaha Agung MUSA, En. Noor Azman Rahman serta Pengarah Projek I-17 Sports Sdn Bhd, En. Muhd Razali Omar Othman.

Hadir sama Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri, Dr Mohd Aras Khamis dan Pengetua Sekolah Sukan Negeri Melaka (SSNM) SMK Seri Kota, En. Isa Jani

Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Datuk Wira Mohd Yusoff.

Beliau dalam ucapannya berkata, bolasepak negeri Melaka kini telah memasuki fasa kedua selepas mengalami jatuh bangun dalam Liga Malaysia sebelum berjaya muncul juara Liga FAM pada 2015 kemudian menjuarai Liga Premier pada tahun berikutnya sebelum berjaya kembali ke saingan Liga Super buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun pada 2017 pada fasa pertama.

Fasa kali ini katanya, MUSA komited untuk melahirkan pemain-pemain berjenama Melaka dan berkualiti bagi memastikan bolasepak negeri ini tidak ketandusan bakat-bakat baharu dengan memperkasakan pasukan-pasukan belia di pelbagai peringkat umur pemain.

“Kita berhasrat melahirkan lebih ramai pemain profesional dari negeri ini dan ke arah memperkasakannya kita telah bekerjasama dengan pihak I-17 Sports bermula dengan pemerkasaan Skuad B19 dan Bawah B17 Melaka United pada musim ini.

“Kita sangat berbesar hati dengan kehadiran I-17 Sports untuk bersama-sama dalam pembangunan bakat bolasepak Melaka dari peringkat akar umbi.

“Semoga dengan inisiatif yang diambil oleh pihak I-17 Sports dapat menjadi contoh kepada pelbagai pihak untuk turut sama MUSA dalam membantu pembangunan bolasepak negeri Melaka danjuga negara,” jelasnya.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi pengenalan pemain dan jersi serba baharu keluaran I-17 Sports dimulakan dengan para pemain dan pegawai pasukan Skuad B19 MU yang dibarisi seramai 22 pemain yang bakal membawa cabaran Melaka United dalam saingan liga Piala Belia 2018.

Selepas itu, Skuad B17 MU yang dibarisi seramai 31 pemain dari Sekolah Sukan Negeri Melaka (SSNM) SMK Seri Kota pula diperkenalkan yang bakal mewakili negeri Melaka pada saingan Kejohanan Bolasepak Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2018.

Kami di pihak MUSA merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis berkenaan yang julung kalinya diadakan dalam memperkenalkan pasukan-pasukan belia Melaka United.

Didoakan semoga Skuad B19 dan B17 akan mencipta kejayaan yang gemilang buat Melaka United dalam kejohanan yang disertai mereka musim ini.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text. captcha txt

Start typing and press Enter to search