Melaka United sedia beri cabaran musim depan – DW Justin

 In Press Release

“Kelab Bolasepak Melaka United FC terus komited dan kini merangka persiapan kelab bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan dengan menetapkan beberapa perancangan dalam misi membawa Melaka United FC sebagai salah sebuah pasukan yang mampu mencabar setiap kejuaraan dalam Liga Malaysia. 

Kita sedar Melaka United tidak lagi muncul sebagai pasukan pencabar kejuaraan dalam saingan bolasepak domestik seperti saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA sejak kali terakhir muncul Juara Liga Premier pada 2016, kini sudah tiba masanya untuk kemunculan semula Skuad Hang Tuah yang lebih berdaya saing dan kompetitif. 

Biarpun berjaya mengekalkan tempat dalam saingan Liga Super Malaysia musim depan namun pasukan dilihat bergelut sepanjang saingan untuk mengelakkan penyingkiran liga sehingga perlawanan ke-21 musim ini. Walaubagaimanapun saya percaya pasukan ini mampu mendapatkan tempat terbaik dalam Liga Super serta memberikan saingan dan mendapat keputusan positif di Piala Malaysia 2021 kelak.

Peluang Melaka United beraksi buat tahun ke-6 berturut-turut dalam saingan Liga Super Malaysia tidak boleh dipersiakan dengan skrip yang sama, ke arah itu beberapa perancangan telahpun diteliti untuk dilaksanakan demi penambahbaikan MUFC musim depan. 

Bagi memperkuatkan lagi cabaran MUFC dalam saingan Liga Malaysia 2022, kami ingin memantapkan lagi pasukan dengan mendapatkan pemain-pemain tempatan dan import yang berkualiti serta mampu memperkuatkan lagi pasukan di setiap posisi. Kami juga berhasrat mengeluarkan sejumlah peruntukan khusus bagi menaiktaraf pasukan antaranya menambahbaik fasiliti latihan pasukan termasuk peralatan latihan dan sebagainya. 

Dalam masa yang sama, MUFC juga sedang mengadakan perbincangan bersama rakan kerjasama serta pelabur berpotensi yang percaya dan ingin bersama-sama memajukan Kelab Bolasepak Melaka United. 

Sokongan yang tidak berbelah daripada semua pihak khususnya penyokong setia bolasepak serta warga negeri Melaka sentiasa diperlukan untuk bersama-sama kami memacu MUFC ke tahap yang boleh kita banggakan bersama. 

Langkah-langkah ini bukan sahaja bagi menaikkan semula nama Melaka United dalam kancah bolasepak tempatan malah ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan.” 

Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat, Pemilik Melaka United FC merangkap Ketua Pegawai Eksekutif.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text. captcha txt

Start typing and press Enter to search