Program FIFA Girls Grassroots Festival 2018

 In MUSA, News, Press Release

Program FIFA Girls Grassroots Festival 2018 anjuran bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) yang berlangsung dari pagi hingga petang tadi (Sabtu, 29 September 2018) meriah dengan kehadiran lebih 500 orang termasuk peserta dan ibu bapa yang membanjiri Padang 10 Wisma MUSA seawal pukul 7 pagi.

Program dimulakan dengan Klinik Bolasepak yang disertai lebih 200 peserta berumur bawah 12 tahun dari dalam dan luar Melaka.

Klinik dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman dari FAM dan MUSA yang memberi tunjuk ajar asas bolasepak kepada para peserta di samping para peserta turut terlibat dengan perlawanan bolasepak di antara mereka.

Program kemudiannhya diteruskan dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Exco Wanita Bolasepak FAM, Cik Shafizah Umamah Abdul Mutalib sekitar pukul 11 pagi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia MUSA, En Nick Yong Yoon Pin.

Pada sebelah petang program diteruskan dengan Pertandingan 7 Sebelah Kategori Bawah 14 membabitkan tujuh pasukan sekolah menengah dan Kategori 16 Tahun membabitkan 5 pasukan sekolah menengah sebelum Pertandingan 9 Sebelah Terbuka Wanita bermula yang membabitkan saingan empat pasukan.

Tahniah diucapkan kepada pasukan bolasepak SMK Tun Haji Abdul Malek yang menjuarai Kategori Bawah 14 Tahun, SMK Bukit Rambai yang berjaya muncul juara bagi Kategori Bawah 16 Tahun manakala Taming Sari FC pula menjuarai Kategori Terbuka Wanita.

Semua hadiah disampaikan pada Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh YB Ginie Lim Siew Lin, EXCO Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Negeri yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tugas-Tugas Khas MUSA, En Muhd Razali Omar Othman.

Pihak MUSA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terutamanya kepada pihak FAM kerana memilih Melaka bagi menganjurkan program ini dalam usaha mencungkil bakat bolasepak di kalangan kanak-kanak dan wanita di negeri ini untuk diketengahkan.

Tidak lupa juga kepada semua pihak yang terlibat sepanjang penganjuran program yang sungguh bermakna ini dan semoga program ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang demi kesinambungan pembangunan bolasepak wanita negara.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text. captcha txt

Start typing and press Enter to search