SAMB FC dan MBMB Warriors FC dinobatkan sebagai Juara Divisyen 1 dan 2 Liga Melaka bagi musim 2018

 In MUSA, News, Press Release

SAMB FC dan MBMB Warriors FC dinobatkan sebagai Juara Divisyen 1 dan 2 Liga Melaka bagi musim 2018 secara rasmi selepas berakhir saingan kedua-dua divisyen di Padang 10, Wisma MUSA, petang tadi (Ahad, 4 November 2018).

Kedua-dua saingan Divisyen 1 dan 2 2018 menutup tirai secara rasmi dengan perlawanan terakhir Divisyen 1 dan 2 mempertemukan SAMB FC dan Persibu FC dalam saingan Divisyen 1 serta pertembungan dua pasukan teratas Divisyen 2 iaitu MBMB Warriors FC dan Andalas FC.

Perlawanan terakhir Divisyen 1 menyaksikan SAMB FC yang telahpun mengesahkan kejuaraan lebih awal menewaskan Persibu yang sedang berjuang mengelak penyingkiran divisyen dengan kemenangan 3-0 hasil jaringan Hanafiah Abu Bakar, pada minit ke-15, Muhammad Rais Rahim (minit ke-26) dan Muhammad Ammar Samsuri (minit ke-51).

Perlawanan terakhir Divisyen 2 pula berakhir dengan keputusan 0-0 sekaligus menyaksikan MBMB Warriors muncul juara hasil kelebihan jaringan biarpun kedua-dua pasukan mengumpul 26 mata.

Terdahulu, perlawanan antara MBMB Warriors dan Andalas itu adalah sambungan kepada perlawanan yang tertangguh pada Isnin, 29 Oktober yang lalu di Stadium Hang Tuah bagi menentukan pasukan juara Divisyen 2 biarpun kedua-dua pasukan telah mengesahkan kenaikan ke Divisyen 1 musim depan.

Selaku pasukan juara Divisyen 1, SAMB FC menerima piala serta hadiah wang tunai bernilai RM15,000, pasukan di tangga kedua liga, Masjid Tanah FC membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM8,000 selaku pasukan Naib Juara, manakala Hulubalang FC dan BSN FC menerima RM3,000 selaku pasukan tempat ke-3 dan dan ke-4.

Selaku pasukan juara Divisyen 2, MBMB Warriors FC menerima piala dan hadiah wang tunai bernilai RM10,000, Andalas FC menerima RM6,000 selaku pasukan Naib Juara manakala Panglima FC dan Gadong Perdana FC masing-masing menerima RM2,000 selaku pasukan tempat ke-3 dan 4.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan MUSA, En Mohd Ashiq Abd Samad.

Pihak MUSA mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada pasukan yang berjaya dan kami juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pasukan yang menyertai Liga Melaka Divisyen 1, 2 dan 3 sepanjang musim ini.

Jutaan terima kasih kepada semua pasukan yang bertanding atas semangat kesukanan yang tinggi sepanjang berlangsung saingan Liga Melaka 2018, jumpa lagi dalam saingan Liga Melaka pada musim hadapan.

#LigaMelaka2018
#DemiKebanggaanMelaka
#iniligakita

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text. captcha txt

Start typing and press Enter to search